Rabu, 6 Januari 2010

Bagaimana Anda Memberi Motivasi?


MOTIVASI


Menurut McGraw.Hill dalam Encyclopedia of Science & Technology 2005, motivasi dimengertikan sebagai :

“The intentions, desires, goals, and needs that determine human and animal behavior. An inquiry is made into a person's motives in order to explain that person's actions”

Woolfolk (1990) memberi sedikit nilai tambah pengertian motivasi dengan mengatakan bahawa motivasi merupakan satu kuasa dalaman yang membangkit, mengarah dan mengawal minat serta tingkah laku manusia.

Ainon Mohd. dan Abdullah Hassan (2003) membuat elaborasi dengan menghuraikan bahawa motivasi berasal daripada perkataan Latin “Movere” (bergerak) bermakna mendorong, mengarah dan mengekalkan sesuatu tingkah laku.

Bertitik tolak daripada beberapa definisi yang diketengahkan, motivasi dapat difahami dengan beberapa prinsip-prinsip berikut :

1. Bermula dengan niat, matlamat dan keperluan hidup manusia.
2. Motivasi wujud akibat keperluan fisiologi atau psikologi.
3. Motivasi mampu membuatkan seseorang sanggup untuk melakukan sesuatu yang mereka perlu dan inginkan. Semakin kuat kadar keinginan, semakin tinggi motivasinya.
4. Motivasi boleh mendorong seseorang melakukan sesuatu tingkah laku dan mengekalkan tingkah laku tersebut.


Teori Motivasi

Perbincangan teori motivasi dalam kertas ini lebih menjurus kepada teori yang diperkenalkan oleh McClelland yang dilihat menarik untuk dihuraikan di sini. Perincian yang dilakukan terhadap teori motivasi telah membuka banyak kaedah motivasi yang boleh difikirkan secara praktikal dan diaplikasi mengikut situasi yang sesuai dan kondusif.

Teori Motivasi menurut McClelland (1989)

Di dalam suasana pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas, motivasi untuk berjaya adalah sangat penting untuk disemai dalam diri pelajar-pelajar. Tetapi menurut McClelland (1961), setiap pelajar mempunyai keperluan untuk mencapai kejayaan yang berbeza. Guru perlulah mengenalpasti sikap dan juga tahap di mana pelajar-pelajarnya meletakkan diri untuk berjaya. Ada pelajar yang mempunyai motivasi untuk berjaya yang tinggi dan ada pula pelajar yang mempunyai sikap sambil lewa di dalam pelajaran.

Prof. McClelland telah mencadangkan sejenis personaliti yang mempunyai ciri-ciri ‘kehendak untuk berjaya’ atau need for achievement atau n-achivement. Beliau mencipta kaedah bagi mengenalpasti serta mengukur setinggi mana kehendak seseorang individu itu untuk berjaya. Menurut kaedah beliau, individu akan diberi sekeping gambar. Kemudian dia akan diminta mengarang sebuah esei pendek berdasarkan gambar tersebut. Esei itu akan dibaca dan markah akan diberi berdasarkan bilangan tema kejayaan yang terkandung di dalam esei itu.

Teori McClelland sudah digunakan dengan meluas oleh ahli-ahli psikologi lain untuk mengkaji ciri-ciri personaliti pejaya, iaitu individu yang sangat-sangat berkehendakkan kejayaan. Guru dapat menggunakan dapatan dari kajian ini bagi menggalakkan lagi keberkesanan pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas. Antara dapatan-dapatan yang dapat dirungkaikan daripada kajian-kajian ini adalah:

1. Individu-individu yang sangat inginkan kejayaan sengaja dan sentiasa mencari tugas-tugas yang banyak memberinya cabaran.
2. Mereka mahu diberikan tanggungjawab yang menghendaki mereka membuat pelbagai keputusan.
3. Mereka mahu supaya tugas-tugas yang mereka jalankan itu diberi penilaian demi mencapai kemajuan.
4. Mereka akan melaksanakan tugas-tugas mereka dengan lebih baik lagi apabila tugas-tugas itu penuh dengan tanggungjawab, mengandungi kepelbagaian, diberi penilaian, dan mereka diberi kebebasan dalam perlaksanaan. Sebaliknya, individu-individu yang bukan pejaya tidak menunjukkan dan memberi hasil yang baik apabila mereka diberi tugas-tugas yang memiliki ciri-ciri seperti itu.
5. Individu-individu pejaya cenderong memulakan sesuatu atau menjadi usahawan.
6. Mereka mempunyai dorongan yang kuat untuk memajukan diri mereka dengan daya usaha sendiri.

Lazimnya, wang menjadi pendorong penting kepada manusia. Tetapi, menurut McClelland, wang bukanlah pendorong utama bagi individu-individu yang mempunyai keperluan pencapaian yang tinggi. Ini disebabkan individu-individu itu memang sudah sedia mempunyai dorongan yang sangat tinggi untuk berjaya. Sebaliknya, bagi individu-individu yang rendah keperluan pencapaiannya, mereka sangat terdorong oleh wang. Mereka akan bekerja dengan lebih bersungguh apabila ditawarkan wang. Bagi mereka yang mempunyai keperluan pencapaian yang amat tinggi, wang hanyalah sebagai maklumbalas dan suatu bentuk pengiktirafan sahaja kepada kejayaan dan hasil usaha mereka. Apabila mereka berjaya, mereka menganggap ganjaran wang adalah bukti bahawa mereka sudah berjaya.

Teori yang diunjurkan oleh McClelland ini dapat diaplikasikan dalam dunia pendidikan tidak kira di peringkat rendah atau tinggi. Menurut McClelland, beliau yakin bahawa keperluan pencapaian boleh diajarkan kepada kanak-kanak dan orang-orang dewasa. Menurut beliau latihan itu mesti ditujukan kepada empat matlamat:

1. Mereka diajarkan cara-cara membuat matlamat mereka sendiri dan mencatatkan kemajuan prestasi mereka.
2. Mereka diajar menggunakan bahasa kejayaan, di mana mereka diajar supaya berfikir, bercakap dan berkelakuan sebagaimana orang-orang yang memiliki keperluan pencapaian yang tinggi.
3. Mereka diberi dorongan serta galakan intelektual di mana mereka diajar bahawa keperluan pencapaian adalah sangat penting sebagai syarat mencapai kejayaan.
4. Mereka diberi sokongan dan dorongan oleh individu-individu yang berjaya. Mereka perlu juga diberi peluang bertemu dari masa ke masa untuk berkongsi cerita kejayaan masing-masing.
Terdapat teori yang memberi tumpuan kepada jenis-jenis tingkahlaku yang dilakukan oleh punca-punca yang menyebabkan ia berlaku. Teori-teori seperti itu menumpukan perhatian kepada peranan proses pengukuhan tingkah laku.

Ada juga teori motivasi yang lain yang memberi tumpuan kepada peranan faktor-faktor kognitif, iaitu merujuk kepada cara-cara manusia berfikir. Teori-teori seumpama ini percaya bahawa pemikiran manusia bertanggungjawab menentukan tingkah lakunya.

Teori-teori kognitif ini pula terbahagi kepada dua kumpulan. Pertama, teori kognitif yang memberi tumpuan kepada apa yang mendorong tingkah laku manusia. Kedua, teori kognitif yang memberi tumpuan kepada mengapa manusia terdorong melakukan sesuatu perbuatan.

Perdebatan dan perbincangan mengenai teori-teori ini berlanjutan hingga ke hari ini. Ramai pakar-pakar yang cuba menerangkan faktor-faktor yang mendorong sikap, tabiat, dan tingkah laku manusia. Teori-teori itu boleh diklasifikasikan kepada beberapa kumpulan.

1. Teori-teori pembelajaran dan pengukuhan
Terdapat teori yang cuba menerangkan faktor-faktor yang mendorong seseorang individu itu mempelajari sesuatu perbuatan atau tingkah laku. Sebagai contoh, teori-teori yang cuba menerangkan mengapa seseorang itu belajar mencuri. Teori-teori jenis ini disebut teori-teori pembelajaran dan pengukuhan. Istilah lain untuk teori-teori jenis ini ialah teori pengukuhan atau reinforcement theory.

Dari aspek kognitif, teori-teori jenis ini percaya bahawa semua tingkah laku seseorang individu adalah dipelajarinya daripada pengalaman-pengalaman yang lalu.

Teori-teori ini cuba menerangkan bagaimana manusia mempelajari sesuatu tingkah laku dan mengapa sesuatu tingkah lalu itu terus kekal diamalkannya. Sebagai contoh, teori-teori pengukuhan cuba menerangkan bagaimana kanak-kanak belajar perbuatan mencuri dan mengapa sesetengah kanak-kanak terus mencuri hingga ke usia dewasa.

2. Teori-teori keperluan
Ada teori yang cuba menerangkan unsur-unsur yang secara fitrah wujud di dalam diri manusia dan bagaimana unsur-unsur semulajadi itu dapat mempengaruhi sikap dan tingkah laku manusia. Oleh itu, teori-teori ini percaya bahawa ciri-ciri fitrah manusia adalah punca kepada setiap tingkah lakunya.

Teori-teori jenis ini disebut teori-teori keperluan atau teori-teori kandungan atau need theory. Ini disebabkan ia percaya bahawa secara fitrahnya, manusia mempunyai beberapa keperluan dan keperluan-keperluan itulah yang menyebabkan manusia melakukan apa yang mereka lakukan. Sebagai contoh, manusia perlu makan, minum, dan berehat. Ini disebabkan fitrah manusia itu sendiri yang memerlukannya supaya makan, minum, dan berehat. Tokoh-tokoh penting dalam teori-teori keperluan ialah Abraham Maslow, David McClelland, dan Herzberg.

3. Teori-teori proses
Ada teori yang cuba menerangkan proses mengapa dan bagaimana seseorang individu itu melakukan sesuatu tingkah laku. Teori-teori seperti ini dikenali sebagai teori-teori proses atau process theory. Nama lain bagi teori-teori dari kelompok ini adalah teori keputusan atau decision theory. Ini disebabkan teori-teori jenis ini percaya bahawa setiap tingkah laku manusia sebenarnya mencerminkan keputusan-keputusan yang diambilnya. Teori-teori proses percaya bahawa manusia sentiasa memproses maklumat dan seteusnya mengambil pelbagai keputusan. Setiap keputusan yang diambilnya itulah yang menentukan tingkah laku individu berkenaan.

Ada sesetengah pakar yang berpendapat semua teori-teori keperluan dan teori-teori proses adalah di bawah kelompok teori kognitif. Ini disebabkan kedua-dua jenis teori itu percaya bahawa tingkah laku manusia didorong oleh faktor-faktor kognitif manusia, iaitu cara manusia itu berfikir.

4. Teori-teori perbandingan sosial
Teori-teori perbandingan sosial memberi tumpuan kepada persepsi dan perasaan seseorang individu itu kepada persoalan sama ada dia berasa dia menerima layanan yang adil jika dibandingkan dengan layanan yang diterima oleh individu-individu lain.

Mengikut teori perbandingan sosial, seseorang itu menilai apa sumbangannya dengan cara membandingkan sumbangan yang diberi dan ganjaran yang diterima. Apabila seseorang itu memberi sumbangan, dia cenderung mempunyai ekspektasi atau harapan mengenai ganjaran yang wajar diterima olehnya.


Prinsip Teori Pengukuhan (Edward, D.C. 1999)

Satu lagi teori yang turut melengkapi kajian ini ialah Teori Pengukuhan yang diperkenalkan oleh Edward, D.C (1999). Teori ini menyatakan bahawa manusia melakukan sesuatu kerana mengharapkan ganjaran. Ganjaran berfungsi sebagai pengukuh kepada sesuatu tingkah laku di mana ia menggalakkan sesuatu kelakuan untuk berulang. Mengikut Edward, setiap individu memulakan perhubungan dengan individu lain yang pada pandangannya akan memberikan ganjaran. Kajian pakar psikologi juga menerangkan bahawa wujudnya kecenderungan di mana seseorang itu akan mengadakan hubungan yang baik terhadap individu yang pernah memberikan ganjaran (Hudson, L 1963). Prinsip Teori Pengukuhan (Edward, D.C 1999) antaranya menyebut :

Manusia melakukan sesuatu kerana mengharapkan ganjaran
Ganjaran berfungsi sebagai pengukuh kepada tingkah laku.
Setiap individu memulakan perhubungan dengan individu lain yg pada pandangannya akan memberikan ganjaran.


Ganjaran

Ganjaran adalah salah satu alat (tool) pendidikan. Ganjaran diandaikan berguna agar pelajar meningkatkan usahanya untuk memperbaiki atau mempertingkat prestasi yang telah dapat dicapainya. Menurut M. Ngalim Purwanto dalam bukunya “Ilmu Pendidikan : Teoritis dan Praktis”, pendapat para ahli didik terhadap ganjaran sebagai alat pendidikan berbeza-beza. Sebahagian ahli didik menyetujui dan menganggap pentingnya ganjaran itu dipakai sebagai alat untuk membentuk kelakuan pelajar. Sebaliknya, ada pula ahli-ahli didik yang tidak suka sama sekali menggunakan ganjaran itu. Mereka berpendapat bahawa pendidik hendaklah mendidik anak-anak supaya belajar dan melakukan sesuatu dengan baik kerana pekerjaan atau perbuatan itu memang satu kewajipan yang patut dan perlu dipenuhi dan bukan semata-mata mengharapkan pujian atau ganjaran.

Pendapat yang ketiga yang terbaik terletak di antara kedua-dua pendapat yang bertentangan di atas. Seorang pendidik hendaklah menyedari bahawa yang dididik adalah anak-anak yang masih lemah kemahuannya dan belum mempunyai pemikiran seperti orang dewasa. Mereka belum dapat melakukan perbuatan yang baik dan meninggalkan yang buruk atas kemahuan dan keinginannya sendiri. Maka pujian atau ganjaran sangat diperlukan dan berguna bagi pembentukan pemikiran dan kemahuan. Tetapi sebaliknya, pendidik hendaklah jelas bahawa tujuan pendidikan adalah mendidik pelajar supaya menjadi manusia yang tahu akan kewajipannya dan bukan kerana mengharapkan suatu pujian atau ganjaran.


Bentuk-Bentuk Ganjaran.

Menurut McClelland (1961) setiap pelajar mempunyai keperluan ganjaran kejayaan yang berbeza. Ganjaran yang diberikan boleh dalam pelbagai bentuk (Ainon Mohd dan Abdullah Hassan 2003). Contohnya:

1. Makan minum
2. Cenderamata
3. Peralatan kerja (komputer, kereta syarikat, perabot pejabat)
4. Ganjaran halwa mata dan telinga ( hiasan pejabat, menonton pertunjukan, muzik)
5. Pemberian (gaji, bonus, saham, polisi insurans, hadiah melancong, kupon pembelian)
6. Ganjaran sosial ( pujian lisan, pujian bukan lisan, penghargaan secara rasmi, pengiktirafan)
7. Ganjaran sosial simbolik & ganjaran benar (trofi, plak, jam, tali leher)
8. Ganjaran kewangan (hadiah wang khas, bonus peribadi, saham syarikat)
9. Ganjaran berkaitan kerja (kenaikan pangkat, tugas lebih besar, peluang berurusan dengan eksekutif tertinggi)


Prinsip-Prinsip Ganjaran

Terdapat beberapa prinsip ganjaran yang telah diselaraskan mengikut asas-asas berikut :

1. Ganjaran diberi atas keupayaan.
2. Ganjaran diberi atas bakat luar biasa.
3. Ganjaran diberi untuk menimbulkan dorongan dalaman.
4. Beri ganjaran yang dihargai oleh penerima.
5. Kaitkan ganjaran dengan tingkah laku.
6. Ganjaran selaras dengan tingkah laku.
7. Ganjaran hendaklah sering diberikan.
8. Beri ganjaran selepas perubahan berlaku.
9. Ganjaran hendaklah sesuatu yang bernilai kepada penerima.
10. Ganjaran tidak dapat mengubah matlamat peribadi seseorang.
11. Ganjaran yang diberikan hendaklah selaras dengan tugas.
12. Ganjaran hendaklah mempunyai keistimewaan.


Ganjaran Positif

Perbincangan ini lebih merujuk kepada ganjaran bersifat positif walaupun dalam waktu yang sama tidak menafikan kewujudan ganjaran yang berbentuk negatif. Justeru, terdapat beberapa jenis ganjaran yang memberi impak kepada pengukuhan positif yang merujuk kepada sekiranya ganjaran tersebut diberikan mengakibatkan sesuatu tingkah laku itu kekal dan akan terus dilakukan. Jenis-jenis ganjaran positif tersebut adalah seperti berikut (Ainon Mohd. & Abdullah Hassan 2003) :

1. Makan minum
2. Cenderamata
3. Peralatan kerja (komputer, kereta syarikat, perabot pejabat)
4. Ganjaran halwa mata dan telinga ( hiasan pejabat, menonton pertunjukan, muzik)
5. Pemberian (gaji, bonus, saham, polisi insurans, hadiah melancong, kupon pembelian)
6. Ganjaran sosial ( pujian lisan, pujian bukan lisan, penghargaan secara rasmi, pengiktirafan)
7. Ganjaran sosial dan simbolik
7.1 Ganjaran kewangan (hadiah wang khas, bonus peribadi, saham syarikat)
7.2 Ganjaran berkaitan kerja (kenaikan pangkat, tugas lebih besar, peluang berurusan dengan eksekutif tertinggi.
7.3 Ganjaran berkaitan simbolik dan ganjaran benar (trofi, plak, jam, tali leher)

Seperkara yang perlu diberi perhatian mengenai ganjaran yang merupakan pengukuhan positif dan paling efektif ialah :

1. Ganjaran sosial merupakan jenis ganjaran yang paling kuat kesannya disebabkan ia memenuhi ciri-ciri ganjaran yang baik. Kesannya lebih besar sekiranya ganjaran tersebut diberikan oleh individu yang berstatus tinggi seperti guru kepada murid.

2. Ganjaran sebenar atau ganjaran simbolik diberikan selepas seseorang telah melakukan sesuatu.

3. Wang sering dianggap ganjaran yang paling berkuasa tetapi sebenarnya gagal memberikan kesan yang besar (bergantung kepada keikhlasan) yang sukar untuk diberi justifikasi.


Beberapa Prinsip Ganjaran Positif

1. Menurut Hudson.L (1963), kajian pakar psikologi menerangkan bahawa wujudnya kecenderungan di mana seseorang itu akan mengadakan hubungan yang baik terhadap individu yang pernah memberikan ganjaran.

2. Ganjaran positif mengukuhkan tingkah laku.
3. Ganjaran positif berfungsi :
3.1 Mendorong murid mengulangi tingkah lakunya.
3.2 Mendorong murid memberhentikan tingkah lakunya.


Dorongan

Dorongan dapat diklasifikasikan kepada dua iaitu dorongan dalaman dan dorongan luaran (Ainon Mohd. & Abdullah Hassan 2003). Dorongan dalaman ialah kesediaan seseorang itu melakukan sesuatu kerana berasa seronok dan berpuas hati. Manakala dorongan luaran ialah kesanggupan seseorang melakukan sesuatu disebabkan ganjaran-ganjaran luaran atau disebabkan tidak mahu dihukum.


Andaian Mengenai Dorongan

1. Menurut Amabile (1983)
¨ Individu yang dulunya suka melakukan sesuatu akan hilang keseronokan disebabkan ganjaran luaran yg diberikan untuk tugasan yang sama.
¨ Tugasan mereka akan merosot dan menyebabkan tingkah laku tersebut akan terhenti.

2. Menurut Huffman (1994) ;
¨ Jangan sebut dorongan luar apabila mendorong murid berusaha keras. Contohnya :
• Kalau dapat no 1 saya belanja.
• Kalau gagal saya akan rotan.

¨ Sebaliknya beri dorongan dalaman seperti mengatakan:
• Belajar di universiti lebih seronok kalau kamu berjaya.
• Bertuahnya kamu apabila menjadi doktor. Kamu akan dihormati.

¨ Memberi ganjaran yang murid tidak perasan. Contohnya :
• Tulisan kamu bertambah kemas.
• Kamu semakin rajin membuat kerja sekolah.

¨ Jangan beri ganjaran yang murid sudah jangkakan seperti :
• Memberi wang dan sebagainya yang menyebabkan sukar untuk ditambah ganjaran.

¨ Jangan beri pujian yg menimbulkan kesan negatif seperti :
• Awak handsome, awak baik.
• Awak paling best
Murid akan merasa sangsi, ragu-ragu, geli geleman, menyampah dan benci seumpama “ada udang di sebalik batu”.


Menurut Huffman (1994) ;
¨ Jangan memberi pujian yang tidak berkesan seperti :
• Kamu pandai masak. (masak apa?)
• Kamu pandai melukis. ( melukis apa?)

¨ Jangan beri pujian yang mengecewakan seperti :
• Tulisan awak agak cantik
• Markah awak agak memuaskan

¨ Sebaik-baiknya sebut begini :
• Tulisan awak lebih baik daripada kelmarin.
• Markah awak lebih baik berbanding peperiksaan yang lepas.



Strategi Guru Menyelesaikan Masalah Murid Nakal Melalui Kaedah Dorongan
Menurut Chance.P (1986) :
Guru perlu memadamkan tingkah laku negative dengan cara tidak mempedulikan murid apabila melakukan kenakalan.
Guru perlu mengukuhkan tingkah laku positif dengan mengendahkan perubahan positif yang dilakukan.

Kesannya murid yang telah mendapat perhatian hasil tingkah laku baiknya tidak perlu melakukan perkara negatif untuk mendapat perhatian. Malahan guru juga perlu hikmah dan bijak menggunakan maklumbalas positif terhadap murid. Ertinya guru memberi maklumat berkenaan apa yang sudah dilakukan murid. Sama ada dalam bentuk kata-kata, perbuatan mahupun pemberian. Contohnya dengan memberi maklum balas hendaklah tepat dengan kriteria seperti mengatakan, “Cuba dapatkan markah 85%.

Kajian menyebut bahawa maklumbalas positif yang diberi setiap hari adalah lebih berkesan terhadap tingkah laku murid. Maklum balas yang disertai dengan ganjaran adalah lebih bermakna dan berkesan.


Rumusan

Pada dasarnya, setiap teori motivasi mendakwa bahawa ganjaran atau reward sangat besar pengaruhnya ke atas tingkah laku seseorag individu. Dalam erti kata yang lain, apabila sesuatu tingkah laku itu ada ganjaran maka itulah yang akan dilakukan olehnya. Seseorang itu juga terdorong melakukan sesuatu pekerjaan dengan harapan dia akan mendapat ganjaran yang diharapkan.

Guru-guru perlu mengambil perhatian yang serius dalam mendalami isu motivasi para pelajarnya. Guru perlu melengkapkan diri dengan pengetahuan berkenaan ilmu psikologi yang mempunyai kaitan dengan motivasi. Isu ganjaran perlu diberi perhatian. Ganjaran yang diberi tidak kena pada tempat dan masanya dipercayai dapat meninggalkan kesan yang negatif kepada pelajar.

Perlu ditekankan bahawa persoalan ganjaran dan dorongan adalah sangat kompleks. Walaupun mudah disebut dan diaplikasi dalam proses pengajaran dan pembelajaran tetapi hakikatnya ia sangat sukar difahami. Apa yang menjadikan ‘ganjaran’ sukar difahami adalah disebabkan seseorang itu tidak dapat meneka dengan tepat ganjaran yang bagaimanakah yang dapat mendorong seseorang individu itu supaya mahu melakukan apa yang mereka mahu lakukan.

Sepertimana yang diperkatakan sebelum ini, guru perlu memanipulasikan hikmah dan kebijaksanaan dalam mengendalikan murid agar mereka terus terdorong melakukan kebaikan dan bermotivasi untuk mencapai kejayaan. Bahkan, murid akan serta-merta memberhentikan segala tingkah laku negatif yang bakal mencorakkan kehidupan mereka ke arah kebinasaan.

Dengan mengetahui dan memahami bahawa ganjaran sosial merupakan ganjaran yang terbaik dan berkesan, semua pendidik diharap mengimplementasikan bentuk ganjaran ini secara serius dan ”constant” agar motivasi murid lebih utuh dan ampuh untuk melawan segala gejala yang mengganggu gugat usaha mereka untuk menggapai kecemerlangan.










BIBLIOGRAFI


Abdullah Hassan & Ainon Mohd. (2003). Guru Sebagai Pendorong Dalam Darjah.PTS Publication & Distributors Sdn. Bhd., K.L.

Abdullah Hassan & Ainon Mohd. (1996). Motivasi Belajar dan Berfikir Utusan Publication & Distributors Sdn. Bhd., K.L.

Amabile, T.M. (1983). The Social Psychology of Creativity. Springer-Verlag N.Y.

Chance, P. (1986). Thinking in The Classroom. Teaching College Press, Columbia University.

Edward, D.C. (1999). Motivation and Emotion. SAGE Publication, California.

Franken, R.E. (2007). Human Motivation. (6th. Ed), Australia : Thomson Wadsworth.

Hudson, L. (1963). The Relation of Psychological Test Scores To Academic Bias. British Journal of Educational Psychology, Vol. 33, hal. 120.

Huffman, K., Vernoy, M. & Vernoy J., Psychology in Action. (3rd. Ed), John Wiley, N.Y.

Maslow, A. H. (1970). Motivation and Personality. (2nd. Ed), New York : Harper & Row.

McClelland, D.C.(1989). Human Motivation. Cambridge, N.Y.

McClelland, D.C.(1961). The Achieving Society. Van Nostrand, N.Y.

Mok Soon Sang (2002). Ilmu Pendidikan untuk KPLI. Kumpulan Budiman Sdn. Bhd. Subang Jaya.

Sharifah Alwiyah Alsagoff (1988). Psikologi Pendidikan II : Psikologi Pembelajarn dan Kognitif, Bimbingan dan Kaunseling. Longman Malaysia Sdn. Bhd. Petaling Jaya.

Woolfolk, A. E., (1993). Educational Psychology. (5th. Ed), Boston : Allyn & Bacon.

Perhatian : Tulisan ini merupakan satu pembentangan kertas kerja Psikologi Pendidikan

Tiada ulasan: