Isnin, 7 Disember 2009

ANDRAGOGI : Bagaimana Orang Dewasa Belajar

Andargogi

....atau Pembelajaran dewasa merujuk kepada proses di mana setiap individu cuba mengubah atau meningkatkan pengetahuan, nilai, kemahiran atau strategi. Andragogi amat jarang diambilkira oleh kebanyakan perunding motivasi atau Trainer dalam menentukan modul yang seharusnya digunapakai dalam kursus bagi kakitangan kerajaan mahupun swasta. Sudah tentu impaknya maksima sekiranya setiap modul kursus yang dijalankan mengambilkira bagaimana orang dewasa belajar.

Konsep pembelajaran dewasa

Konsep pembelajaran dewasa ialah satu konsep di mana suatu aktiviti yang disengajakan di kalangan orang dewasa dengan tujuan meningkatkan keupayaan dan kecerdasan mereka terhadap pengalaman lalu dan pengalaman yang mereka akan tempuhi. Pembelajaran dewasa direka untuk pembangunan potensi yang seimbang di kalangan orang dewasa. Paterson (1979) menyatakan pembangunan di sini bermaksud peningkatan kesedaran, nilai, penambahan ilmu pengalaman dan kemahiran. Russel Report menyatakan pembelajaran dewasa adalah pembelajaran yang seimbang iaitu ia berfungsi mengisi dan menutup jurang pembelajaran yang ditinggalkan oleh sekolah dan kolej. Ia adalah pembelajaran melalui pengalaman yang boleh diperoleh dengan mempraktikkan sesuatu prinsip atau teori.

Proses dalam pembelajaran dewasa perlu membekalkan pengalaman pembelajaran yang berfokuskan kepada inquiri penemuan, pembelajaran melalui pengalaman, refleksi, penyelesaian masalah, kajian kes dan projek serta kajian tindakan. Ia dapat melahirkan konsep konstruktivisme, reka cipta dan pertumbuhan meta kognisi yang lebih rancak dan bermakna. Pembelajaran dewasa ialah pembelajaran yang membekalkan sesuatu kepada orang dewasa bagi menepati semua kehendak aktiviti pembelajaran (Paterson 1979). Pembelajaran dewasa melibatkan prosedur pengajaran dan pembelajaran yang mempunyai sifat-sifat yang berbeza supaya disesuaikan dengan sikap dan perwatakan pelajarnya yang berbeza. Menurut Knowles (1981), beliau mengandaikan orang dewasa berkeinginan dan berkecimpung untuk bertindak ke arah kendiri apabila mereka semakin matang walaupun ada ketikanya mereka bergantung pada orang lain. Orang dewasa juga belajar bersungguh-sungguh bagi mendapatkan atau menguasai sesuatu pengetahuan atau kemahiran untuk disesuaikan dengan kehidupannya.

Prinsip-prinsip pembelajaran dewasa adalah seperti berikut (Knowles 1981):
i) Pelajar dewasa boleh belajar sepanjang hayat.
ii) Pengalaman yang lepas banyak membantu pembelajaran.
iii) Fasilitator menghargai pengalaman pelajar dewasa khususnya yang dapat diaplikasikan dalam situasi semasa.
iv) Pelajar dewasa yang mempunyai konsep kendiri yang positif lebih responsive terhadap pembelajaran.
v) Pelajar dewasa lebih bermotivasi untuk belajar apabila kandungan pembelajaran sesuai untuk tugas-tugas harian, peranan sosial, krisis hidup dan untuk masa transisi.
vi) Persepsi yang jelas terhadap tingkah laku yang diharapkan.
vii)Kesihatan yang baik mempengaruhi proses pembelajaran.

Syarat-syarat pembelajaran dewasa
Mengikut Hamdan Abd Kadir et. al (2004), terdapat 12 syarat yang perlu dipenuhi sebelum proses pembelajaran dewasa berlaku.

Syarat 1: Pengajar perlu tahu peranan mereka
Proses pembelajaran adalah lebih efektif apabila pengajar atau ketua kumpulan kurang bercakap dan tidak menunjukkan autoriti mereka. Pengajar sepatutnya memberi lebih peluang kepada pelajar menyuarakan pendapat mereka sendiri. Proses ini dapat diperkembang dengan memberi kepercayaan yang lebih dan memberi pilihan kepada pelajar serta jalan penyelesaian sendiri yang dapat memuaskan hati mereka.

Syarat 2 : Pengajar perlu tahu matlamat pembelajaran
Pengajar perlu mencipta satu situasi yang membolehkan pelajar bebas menyatakan keperluan mereka. Pembelajaran berlaku apabila pengajar mempunyai matlamat dalam sesuatu sesi pembelajaran dan menggalakkan pelajar mengkaji matlamat diri sendiri dan makna di sebaliknya.

Syarat 3: Pengajar perlu menghargai diri pelajar
Pembangunan adalah suatu perkara yang menitikberatkan keunikan peribadi dan persekitaran pembangunan yang subjektif. Dalam keadaan lain, setiap individu ada pendapat, perasaan, perspektif, nilai dan kesemua ini penuh bererti bagi mereka. Mereka hanya membangunkan kesedaran dalam diri mereka apabila mereka rasa sumbangan dan nilai mereka sebagai individu berharga di sisi kumpulan masyarakat.

Syarat 4: Pengajar perlu menerima pendapat pelajar
Pembelajaran adalah tidak efektif sekiranya pengajar menitikberatkan ’satu jawapan yang benar’, ’keputusan yang menakjubkan’ atau ’satu jalan yang baik’ untuk sesuatu masalah. Pelajar dewasa perlu diberi peluang untuk menyuarakan pendapat dan perasaan sendiri.

Syarat 5: Pengajar perlu menerima kesalahan pelajar
Proses pembelajaran memerlukan cabaran baru dan pengalaman yang berlainan. Percubaan yang tidak diketahui asal-usulnya semestinya akan membuat kesilapan. Perkembangan dan perubahan membantu apabila kesalahan itu diterima sebagai sebahagian daripada proses pembelajaran.

Syarat 6: Pengajar perlu cuba menyelesaikan masalah pelajar
Individu selalunya merasakan mereka tidak mempunyai masa untuk melihat banyak jalan penyelesaian dan mereka juga berasa tidak selesa tanpa jawapan yang sepatutnya. Keterbukaan penjelajahan tentang jalan penyelesaian memerlukan masa yang banyak untuk meninjau jalan alternatif yang pelbagai dan meneruskannya tanpa perasaan memaksa untuk mendapatkan jawapan yang segera.

Syarat 7 : Pengajar perlu menitikberatkan penilaian diri pelajar
Apabila pembelajaran dianggap sebagai proses peribadi, individu memerlukan peluang untuk mengukur perkembangan diri mereka atau menilai diri mereka sendiri. Penilaian diri membenarkan individu mengetahui berapa banyak yang telah mereka pelajari dan perkembangkan. Penilaian diri dan kumpulan akan menyempurnakan sesuatu proses pembelajaran.

Syarat 8: Pengajar perlu tahu ciri dalaman pelajar
Penyelesaian masalah dan pembelajaran memerlukan perasaan individu, sikap, idea, persoalan dan kepekaan bagi memudahkan proses penyelesaian. Individu boleh mengarah diri mereka sepenuhnya dan bertindak terbuka dalam proses pembelajaran interaktif.

Syarat 9 : Pengajar perlu mempercayai diri pelajar
Pembelajaran membantu dan menggalakkan persekitaran individu mempercayai diri mereka sendiri dan sebaliknya. Mereka menjadi kurang bergantung pada autoriti apabila mereka bersikap terbuka dan merasakan mereka adalah sumber bernilai untuk pembelajaran. Seterusnya, ini membawa kepada pembelajaran yang lebih bermakna.

Syarat 10: Pengajar perlu menghormati diri pelajar
Dalam pembelajaran kumpulan, setiap individu saling mempelajari dan saling mengambil berat antara satu sama lain. Ungkapan mengambil berat yang tulen daripada pengajar dan iklim emosi yang tenang menghasilkan persekitaran yang selesa dan harmoni di mana individu boleh menjelajah idea dan bertembung dengan orang lain tanpa sebarang ancaman.

Syarat 11: Pengajar perlu memberi pelajar kebebasan memilih
Individu bebas untuk berubah apabila mereka merasakan perubahan yang dilakukan sesuai dengan mereka. Penerimaan individu bermakna kita membenarkan mereka memegang sesuatu nilai supaya mereka menjadi mereka sendiri. Individu yang sibuk mempertahankan diri mereka daripada terus didesak untuk berubah tidak dapat belajar dengan baik dan selesa.

Syarat 12 : Pengajar perlu tahu kepentingan konfrontasi kepada pelajar
Dengan komunikasi yang bebas dan terbuka, dan tanpa sebarang ancaman iklim psikologikal, keunikan dalam setiap individu memudahkan proses pembelajaran. Konfrontasi melengkapkan peluang individu untuk melahirkan idea mereka. Secara langsung, mereka dapat melihat dengan sendiri dan merasa rangka kerja daripada ahli kumpulan yang lain.


Tujuan Pendidikan Dewasa

Secara umumnya, banyak sumber yang menyatakan bahawa pendidikan dewasa mempunyai dua tujuan utama iaitu membawa kepada perubahan sosial dan pembangunan kendiri. Walau bagaimanapun, pendidikan dewasa mempunyai banyak tujuan lain yang antaranya seperti berikut (David 1988):

i) Memberi peluang pada orang dewasa yang kekurangan pendidikan sekolah tinggi memperoleh kemahiran yang diperlukan supaya dapat berfungsi dengan berkesan dalam masyarakat dan pekerjaan.
ii) Belajar untuk lulus dalam peperiksaan prestasi kerja.
iii)Memperoleh kemahiran pekerjaan peringkat tinggi
iv)Memperoleh kemahiran yang diperlukan bagi menjadi ibu bapa yang baik.
v) Mempelajari kemahiran bahasa lain sebagai bahasa kedua dan kemahiran berkomunikasi
vi)Menggalakkan peningkatan kesedaran dan memberi kesan pada pelbagai bentuk komunikasi dan perpaduan pada tahap keluarga, tempatan, daerah, nasional dan antarabangsa.
vii)Menjamin kesedaran dan efektifnya orang dewasa lelaki dan wanita dalam alam pekerjaan dengan membekalkan pendidikan teknikal dan vokasional terkini serta membangunkan kebolehan mencipta, sama ada secara individu ataupun berkumpulan.
viii)Membangunkan keupayaan atau kebolehan menyelesaikan masalah yang terlibat dalam usaha mendidik kanak-kanak
ix) Membangunkan sikap menggunakan masa lapang dengan kreatif bagi memperoleh sebarang pengetahuan yang diperlukan atau diingini.


TEGASNYA....
  1. Trainer yang benar-benar faham pembelajaran orang dewasa akan mempersembahkan modul yang selaras dengan keperluan pembelajarn mereka.
  2. Modul yang sesuai membantu secara positif pencapaian objektif satu-satu kursus.
  3. Setiap trainer tidak hanya "syok sendiri" dengan modul yang dijalankan, tetapi perlu sering membuat penilaian dan koreksi setiap kelemahan modul. Rajinlah membuat kajian tindakan.
  4. Setiap trainer perlulah rajin membaca dan mendalami sesuatu konsep andragogi serta mengikuti latihan-latihan untuk memahirkan diri sebagai trainer yang baik.
  5. Jadikan beberapa trainer yang berjaya sebagai contoh untuk diikuti.
  6. Niatkan setiap kali membuat kursus sebagai dakwah fillah.

Tiada ulasan: