Isnin, 7 Disember 2009

Memiliki Ilmu di mana-mana

Berlabuh tirai Karnival Jom Heboh pada 5 dan 6 Disember di bukit Jalil merupakan satu kejayaan besar buat TV3 yang telah berjaya menganjurkan karnival sehebat ini selama 7 tahun. Sudah tentu puluhan ribuan insan yang hadir mencari-cari tujuan utama hadir ke sana.

Sewaktu menjadi hos slot motivasi dan pendidikan pada hari sabtu, saya amat teruja dengan kehadiran ibu bapa dan anak-anak yang sempat singgah untuk memiliki dan berkongsi ilmu di saat pekikan muzik berada di mana-mana. Saya percaya sebilangannya ingin berehat seketika, namun hanya Allah yang mampu membuka pintu hati mereka untuk memudahkan jalan mereka masuk ke dalam syurga dengan ilmu. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud : sesiapa yang melalui suatu jalan yang di dalamnya ada ilmu, dimudahkan Allah jalannya untuk masuk ke dalam syurga.

Secara amat optimis dan tegas untuk saya nyatakan bahawa masyarakat pada hari ini amat dahagakan ilmu dan cinta kepada ilmu. Soalnya berapa ramai di antara guru, pendakwah, pihak berkuasa menyedari dan menginsafi bahawa kita wajar menyempurnakan kehendak tersebut secara hikmah.

Meskipun sesetengah ustaz memandang jelek penganjuran jom heboh, tetapi sekurang-kurangnya percayalah kewujudan Booth Kota Ilmu di dalam Jom Heboh dengan pengisian Ilmu dan alunan nasyid telah membuka ruang yang amat besar kepada masyarakat memiliki ilmu sambil berjalan-jalan bersama-sama keluarga.

Apa yang amat perlu difahami bahawa memiliki ilmu bukan lagi mesti berada di sekolah, universiti, masjid ataupun di perpustakaan. Malahan kita wajar menyampaikan ilmu di mana-mana walaupun ruang lingkup dakwah yang diberikan terlalu kecil. Peri pentingnya ialah sejauh mana kita mampu memanipulasi ruang dan peluang untuk menyampaikan ilmu kepada manusia sejagat.

Saya amat menyarankan agar pihak berwajib menyediakan ruang-ruang ilmu di setiap penganjuran apa sahaja karnival yang sudah pasti bilangan pengunjung yang hadir ramai sebagai usaha memberi peluang mereka mendapat ilmu. Dalam waktu yang sama, mad'u yang hadir tidak segan untuk bersama-sama mendengar kerana yang hadir mendengar program ilmu terdiri daripada pelbagai tahap pendidikan, latar belakang keluarga dan pendidikan agama yang jauh berbeza. Paling tidak anak-anak gadis yang tidak bertudung, remaja lelaki yang bersubang boleh duduk bersama-sama menjinakkan diri dalam program tersebut.

Paling utama, setiap pendakwah perlu mempunyai hikmah dan kreativiti bagaimana untuk menarik minat orang ramai menyertai majlis ilmu tersebut. Penggunaan bahasa yang sesuai, faham minat orang ramai, mahir mengaplikasi permainan interaktif, berkebolehan bernasyid merupakan bonus untuk menjadi pendakwah abad ini. Pendekatan yang digunakan oleh Assyahid Imam Hasan al-Banna yang digarap oleh Syeikh Abbas As-Sisi dalam sebuah buku Dakwah dan Tarbiyyah Hasan Al-Banna boleh dijadikan panduan di samping pendekatan yang digunakan oleh pendakwah-pendakwah kontemporari.

Seharusnya, sebagai pendakwah permudahkan masyarakat memiliki ilmu di mana-mana. Perjuangan menyampaikan ilmu satu usaha meneruskan kerja dakwah Rasulullah dan kesan perubahan ilmu hanya Allah yang mampu menganugerahkannya. Firman Allah dalam Surah Al-Baqarah ayat 213 yang bermaksud : ..... dan hanya Allah memberi petunjuk kepada sesiapa yang dikehendaki ke jalan yang lurus.

BAKHTIAR FITRI B. HJ. ABDUL HAMID
NADI ILMU Training Management

Tiada ulasan: